Semakan Online Kemasukan MRSM 2016

Semakan keputusan kemasukan tingkatan 1 dan tingkatan 4 ke MRSM seluruh Malaysia 2016 kini boleh dilakukan menerusi portal rasmi MARA bermula 4 Februari 2016. Semakan keputusan kemasukan ke sekolah-sekolah MRSM seluruh Malaysia adalah untuk kemasukan dan pendaftaran pelajar baru MRSM pada 15 Februari 2016 (kecuali MRSM Kuala Krai pada 20 Mac 2016).

Fuh, ramai ibu bapa malah pelajar yang menunggu untuk membuat semakan kemasukan ke MRSM bagi sesi 2016 ni. Ini termasuklah abang ipar saya yang mempunyai anak yang telah lulus cemerlang di dalam UPSR tahun 2015 yang lalu. Sekarang ni, anak abang ipar saya sudah pun memulakan pengajian di SM Sains Bagan Datoh, Perak.

Semakan Online Kemasukan MRSM 2016

Ramai yang mengatakan bahawa mereka yang telah terpilih ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak akan berpeluang untuk masuk ke Tingkatan 1 atau 4 di MRSM, hatta telah menduduki peperiksaan khas MRSM dan lulus cemerlang. Sejauh mana kebenarannya, saya kurang pasti. Apa yang saya dengar cuma cakap-cakap ibu bapa yang telah mempunyai pengalaman mengenainya.

Semakan kemasukan ke tingkatan 1 dan 4 MRSM 2016

Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan MRSM Bermula 4 Februari 2016

Apapun, buat mereka yang terlibat dan mahu membuat semakan samada anak-anak, pelajar berjaya diterima masuk ke MRSM untuk sesi 2016 ini, boleh membuat semakan menerusi pautan di bawah ini:

Untuk semakan kemasukan tingkatan satu MRSM, pelajar atau ibu bapa perlu memasukkan nombor angka giliran UPSR 2015.

Semakan Online Kemasukan Tingkatan 1 MRSM 2016

Manakala untuk semakan kemasukan ke tingkatan empat MRSM untuk sesi pengambilan 2016, calon atau pelajar perlu memasukkan nombor kad pengenalan semasa mendaftar dan membuat permohonan.

Semakan Online Tingkatan Empat Kemasukan MRSM 2016

MRSM merupakan antara sekolah berasrama penuh berprestij di Malaysia, yang dikendalikan oleh pihak MARA. Saya sejujurnya mengakui kualiti pelajar-pelajar yang diterima masuk serta dilahirkan dari MRSM memang hebat-hebat belaka.

Saya sendiri pernah mengenali beberapa rakan yang merupakan bekas pelajar dari MRSM Taiping Perak dan juga MRSM Terendak Melaka yang kini sudah berjaya dengan karier masing-masing. Bukan mahu menidakkan kualiti sekolah-sekolah harian mahupun berasrama penuh yang lain, tetapi prestij sekolah MRSM memang wujud.

Tahniah kepada mereka yang berjaya memasuki sesi 2016 di sekolah MRSM. Semoga anda teruskan kecemerlangan yang ada untuk masa depan yang lebih baik, in Sha Allah.

Ikan Bakar Muara Sungai Duyung

Salah satu tempat makan medan Ikan Bakar best dan menjadi pilihan ramai di Melaka ialah Ikan Bakar Muara Sungai Duyung. Sebenarnya, saya tidak tahu pun kewujudan medan ikan bakar ni di Melaka, yang saya tahu dan pernah pergi adalah di Umbai, dan juga Alai. Rupa-rupanya, Ikan Bakar Muara Sungai Duyung adalah antara yang popular dan diberitahu antara tempat makan ikan bakar terbaik yang ada di Melaka.

Alhamdulillah, semasa cuti sekolah 2015, sempatlah saya merasai keenakkan ikan bakar di Muara Sungai Duyung ini. Tempatnya agak jauh juga, dari jalan besar .. perlu masuk ke dalam sehingga nampak laut di pandangan mata.

Ikan Bakar Muara Sungai Duyung

Ikan Bakar Muara Sungai Duyung

Apa yang saya suka mengenai tempat ini ialah ia lapang dan mempunyai tempat letak kereta yang agak luas, selain boleh menikmati pemandangan yang indah Muara Sungai Duyung. Acapkali juga kelihatan bot-bot nelayan menyusuri masuk ke muara ini, lalu memberikan satu suasana kampung nelayan yang aman damai.

Ikan Bakar Muara Sungai Duyung

Walaupun tempat ikan bakar Muara Sungai Duyung ini tidak seperti di Umbai yang mempunyai deretan kedai makan, namun ada gerai-gerai kecil yang menawarkan hidangan dan menu lain yang menarik. Antaranya ialah Tauhu Bakar, Ais Krim Special, Otak-Otak, Nasi Lemak, Coconut Shake.

Ada juga gerai yang menjual beberapa produk terbaik tempatan seperti keropok, belacan dan juga Cencaluk. Ramai kata belacan Melaka sedap .. almaklumlah, Sambal Belacan merupakan antara menu istimewa orang Melaka … huhuhu…

Ikan Bakar Muara Sungai Duyung
Ikan Bakar Muara Sungai DuyungIkan Bakar Muara Sungai Duyung

Banyak juga pilihan ikan segar yang ada di Ikan Bakar Muara Sungai Duyung ni. Ada Siakap, Jenahak, Kerapu, Kembong, Sotong, Kerang, Kepah, Ketam dan macam-macam lagi. Harga pula dipaparkan dengan jelas untuk pelanggan, dan dikira dengan cara timbangan. Jadi, tidak timbul isu seandainya terpaksa membayar dengan harga yang agak tinggi untuk makan ikan segar di restoran ini.

Saya dan keluarga sampai ke medan ikan bakar ni sebelum jam 6:00 petang di waktu perniagaan baru hendak dibuka. Pengunjung pun tidak terlalu ramai ketika itu. Alhamdulillah, medan ikan bakar ini mesra pengunjung beragama Islam, ada surau disediakan untuk mereka yang dekat menunaikan kewajipan sholat.

Ikan Bakar Muara Sungai Duyung
Ikan Bakar Muara Sungai Duyung
Ikan Bakar Muara Sungai Duyung
Ikan Bakar Muara Sungai Duyung

Bermula selepas Maghrib, suasana di Ikan Bakar Muara Sungai Duyung akan mula meriah. Ramai yang datang makan di satu-satunya restoran ikan bakar yang ada di sini. Malah, ada beberapa meja yang telah siap ditempah oleh pelanggan.

Dalam menantikan hidangan ikan segar siap, boleh nikmati beberapa makanan ringan terutama Nasi Lemak yang telah tersedia di atas meja. Kalau habis, boleh tambah … dan kalau tidak mahu, hanya biarkan sahaja di atas meja.

Ikan Bakar Muara Sungai Duyung

Secara amnya setelah menikmati hidangan ikan bakar di sini, saya boleh katakan OK sahaja. Walaupun ikan segar disediakan untuk dijadikan menu ikan bakar tetapi ada sedikit kekurangan rasa jika nak dibandingkan dengan medan ikan bakar lain yang pernah saya pergi.

Mungkin sebab rasa saya tidak sama dengan orang lain, atau kehadiran saya dan keluarga ketika itu tidak dapat menikmati keenakkan sebenar ikan segar Muara Sungai Duyung seperti diperkatakan ramai.

In Sha Allah, andai umur panjang boleh cuba sekali lagi.

Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu

Sebuah lagi karya menarik dari sebuah novel akan diketengahkan menjadi sebuah drama. Dua watak utama dalam novel Tundukkan Playboy Itu iaitu Harraz dan Nurin bakal dibawakan oleh pelakon baru Hafidz Roshdi dan selebriti cantik Uqasha Senrose. Turut membintangi drama 30 episode ini ialah Alif Satar, Ridzuan Hashim, Mawar Rashid, Marisa Yasmin, Maria Farida, Navilya Husna, Ziha Salleh, Faradiella Mokhtar, Shaza, Faris Zoren, Nazmi Nordin, dan ramai lagi.

Saya difahamkan drama dari adaptasi novel Tundukkan Playboy Itu karya Anjell akan mengisi slot Akasia TV3. Drama terbitan A-Ten Alliance (M) Sdn Bhd ini mendapat sentuhan pengarah Keoi Hj Khalid dan skrip oleh Mufid Suhaimi. Ia akan ditayangkan mulai 17 Februari 2016 bagi menggantikan drama Cinta Si Wedding Planner.

Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu

Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu

Buat mereka yang mungkin ingin tahu jalan cerita drama ini bersandarkan kepada novel yang ditulis oleh Anjell, mungkin anda boleh baca beberapa bab yang telah dikongsikan sendiri oleh penulis novel tersebut di blognya. Sebagai permulaan untuk tangkap leleh drama ini nanti, boleh baca prolog di bawah .. Prolog novel Tundukkan Playboy Itu.

Prolog Novel Tundukkan Playboy Itu

Senyap antara mereka. Nurin juga lebih selesa mendiamkan diri. Sejujurnya dia sendiri tak tahu nak cakap apa. Sebab pertemuan ini terjadi bukan sebab keinginannya. Semuanya sebab puan sri anggun di depannya sekarang ni yang heretnya ke mari.

Ada apa pulak la puan sri ni nak jumpa dia? Rasanya ni kali pertama mereka berdua berjumpa.

“Ehemm..” Nurin berdehem. Sebenarnya sebab dia rasa kurang selesa dengan pandangan Puan Sri Rosell yang pandang dia macam singa puasa sebulan. Tapi, sebab dia hormatkan Puan Sri Rosell yang lebih tua daripadanya, dia diamkan sahaja.

“Emm.. ada apa Puan Sri nak jumpa saya?” Akhirnya Nurin bersuara. Dibiarkan lama lagi kang, tak pasal-pasal jadi filem bisu untuk tontonan umum. Lagipun, kalau lama lagi, siapa nak bertanggungjawab kalau Rimau Lamborgh yang tak pernah kenyang kat atas sana mengamuk? Tak pasal-pasal kena tuduh ponteng lagi. Tak tahan rasanya telinga nak tahan suara yang tak pernah nak perlahan tu.

“Kamu ya Nurin Areesa?” serius Puan Sri Rosell memandang Nurin.

Nurin cuma angguk. Hai.. tadikan dah tanya? Kalau aku ni bukan Nurin, takdelah aku ikut dia sampai kafe mewah ni. Meskipun Nurin bekerja di Harraz Holdings, tapi ni la kali pertama jejakkan kaki kat kafe ni. Sebab kafe ni hanya untuk ahli keluarga, VIP dan ahli lembaga pengarah syarikat ni. Terima kasihlah, Puan Sri. Kalau bukan sebab Puan Sri, kempunan la saya nak rasa makanan kat kafe ni. Hanya mampu pandang pintu masuk je la.

“Hmm.. boleh tahan cantik kamu. Patutlah Tan Sri suka,” kata Puan Sri Rosell lagi. Wajahnya masih sama. Serius merenung Nurin.

Hai… lain macam pulak bunyi suara Puan Sri depan aku ni. Nurin rasa kurang senang. Jangan-jangan dia ingat aku dengan Tan Sri ada apa-apa tak? Kalau dia ingat aku ni perempuan simpanan Tan Sri, macam mana? Nak cari gaduh ke? Adoi.. Tak sanggup aku nak lawan dengan orang sebaya umi ni.

Puan Sri ni sama je la macam anaknya. Suka tuduh aku dengan Tan Sri ada apa-apa.

“Err.. Puan Sri! Saya dengan Tan Sri takde apa-apa. Dia cuma kawan ayah saya, Puan Sri. Puan Sri jangan salah faham pulak.” Nurin cepat-cepat jelaskan perkara sebenar sebelum dia kena libas dengan dengan handbag Gucci Puan Sri Rosell tu.

Puan Sri Rosell yang dengar terus letuskan ketawa. Buatkan Nurin sedikit pelik. La.. gelak pulak? Apa yang kelakar? Nurin tak faham. Ke dah reda dah kalau-kalau aku jadi madu dia?

Oit.. Nurin! Nak sangat jadi madu puan sri ni? Haish.. mintak simpang tiga, simpang empat, kalau ada simpang lima, simpang lima sikit la! Jadi mak tiri Rimau Lamborgh tu? Uish.. tak sanggup.. tak sanggup.

“Kenapa Puan Sri gelak?” soal Nurin.

“Kamu ni kelakarlah, Nurin. Patutlah Tan Sri suka sangat kat kamu.”

Erk? Dahi Nurin makin berlapis-lapis. Kalau letak dalam talam, dah boleh jadi kuih dahi berlapis kut! Pelik.. pelik.. Nurin sangat pelik dengan Puan Sri Rosell. Cara dia bercakap tadi, bukan main mesra bunyinya. Berbeza sungguh ayat terakhirnya sebelum ni dengan yang tadi meskipun ayatnya lebih kurang sama.

“Saya tak fahamlah, Puan Sri. Kenapa Puan Sri cakap macam tu? Kenapa Puan Sri nak jumpa saya? Saya ada kecilkan hati Puan Sri ke? Kalau ada, saya minta maaf banyak-banyak.”

Puan Sri Rosell cuma senyum. Kata-kata Nurin buatkan kasihnya makin jatuh pada anak gadis itu. Patutlah beria-ia suaminya memuji Nurin. Nurin cantiklah. Saya berkenanlah. Saya sayang Nurinlah. Hmm.. patutlah. Nurin memang macam yang suaminya cakap. Bila jumpa berdepan macam ni, lagilah dia bersetuju dengan kata-kata suaminya itu.

“Nurin takde salah apa-apa dengan Aunty. Nikan kali pertama kita jumpa.” Kali ni lembut Puan Sri Rosell berkata.

Nurin sedikit lega tapi masih tertanya-tanya niat sebenar Puan Sri Rosell nak jumpa dia.

“Habis tu, kenapa Puan Sri nak jumpa saya?”

“Panggil Aunty je, Nurin. Tak payah nak berpuan sri-puan sri dengan Aunty.” Nurin cuma diam bila ditegur sebegitu.

“Maaflah kalau Aunty dah kacau waktu kerja Nurin. Tapi, Aunty nak sangat-sangat jumpa Nurin. Uncle selalu puji Nurin. Buatkan Aunty nak jumpa Nurin. Nak tengok macam mana Nurin sampai-sampai Uncle Mukhriz selalu puji Nurin.”

Nurin rasa lain macam. Pasal Tan Sri Mukhriz lagi ke?
 
“Aunty.. saya dengan Tan Sri..”

“Aunty tahu yang Nurin dengan Uncle Mukhriz bukannya ada apa-apa. Nurin jangan salah faham pulak. Uncle Mukhriz selalu puji Nurin. Sukakan Nurin macam anaknya,” jelas Puan Sri Rosell.

Nurin malu sendiri. Ambik kau, Nurin! Ingat kau tu cantik sangat ke nak jadi skandal terhangat Malaysia? Uncle Mukhriz anggap kau macam anak je la. So, takdelah pelik sangat sebab Nurin pun anggap Tan Sri Mukhriz macam bapanya jugak.

Tapi.. kalau anggap anak tu, bukan ke macam anggap jadi isteri anak dia ke? Kalau isteri kepada anak dia tu, bukan ke macam isteri kepada…

Uih.. tak sanggup aku kalau jadi isteri Rimau Lamborgh tu. Meremang bulu roma. Mimpi pun dah ngeri, kalau jadi nyata memang tak sanggup nak hirup oksigen atas muka bumi ni kut! Ingatkan perangai tak boleh blah dia tu, rasa nak lempang-lempang je mamat tu kat situ jugak.

“Emm.. Nurin dah kerja dua bulan kat sini, kan? Macam mana? Okay tak?” soal Puan Sri Rosell lagi.

Soalan kali ni buatkan Nurin mengeluh. Sedih mengenangkan nasib hidup kat syarikat pelik anak saudara ajaib ni. Kalau tersenarai dalam Malaysia’s Book of Records, memang cun jugak. Tak sanggup nak kenangkan kesengsaraan sejak hari pertama bekerja lagi.

Nurin cuma senyum.

“Okay je Aunty.” Pendek Nurin balas. Kalau masih hidup lagi sekarang ni, kira okay la tu. Ya tak?

“Harraz macam mana?” Puan Sri Rosell melanjutkan soalannya.

Kali ni rasanya Nurin nak mengeluh panjang. Rasanya kalau ukur, mahu sama panjang dari Perlis ke Johor, redah banjaran Titiwangsa. Nak tahu kenapa panjang dan berat keluhannya? Meh nak cerita!

Harraz.. Ha.. semuanya sebab mamat nama Harraz tu la. Harraz Naufal nama pemilik syarikat gah ni. Namanya cantik. Maksudnya jugak cantik. Mukanya jugak cantik. Tapi, perangai, uih… tak sanggup den nak cerita. Cerita panjang-panjang nanti, rasanya boleh kut bukukan jadi koleksi kisah-kisah tauladan.

Sejak kenal lelaki bernama Harraz ni, hidup Nurin tak pernah aman. Harraz alias Rimau Lamborgh. Orang samalah tu. Rimau Lamborgh, nickname yang memang Nurin reka khas untuk mamat tu. Semuanya terhasil sebab suara Harraz yang asyik nak mengaum dua puluh empat jam tu. Yang Nurin rasa sama je bunyinya macam bunyi enjin Lamborghini merah kesayangan mamat tu yang mengaum. Amacam? Cun, kan? Memang first class dan sesuai dengan Harraz yang memang first class tu.

Rasanya takde satu pun perangai mamat tu yang boleh buat hati senang.. nak dibuat calon suami pun memang dah pangkah besar-besar macam orang nak mengundi dalam pilihan raya tu.

Tapi, depan mak Harraz, mana mungkin Nurin kutuk macam-macam. Mahu kena libas bebetul dengan Gucci tu? Sayang nyawa la wei..

“Emm.. macam tu je la, Aunty. Okay je.” Tu je yang mampu Nurin jawab.

“Girlfriends Harraz selalu datang sini ke?” selidik Puan Sri Rosell. Nurin sengih. Macam tahu-tahu je Puan Sri ni. Siap sss lagi lepas sebut girlfriends tu, memang dah tahu la tu yang anak dia memang pasang ramai perempuan. Alah.. anak dia. Mestilah dia tahu.

Uqasha Senrose - Pelakon Utama Drama Tundukkan Playboy Itu

Hari-hari, Puan Sri. Bukan setakat datang. Jadi gelanggang WWE pun pernah, Puan Sri. Ni.. muka ni. Dah kena lempang dah dengan salah sorang girlfriend anak Puan Sri tu. Huh.. ingatkan peristiwa yang baru terjadi tu, buatkan hati kembali panas. Free je aku kena lempang. Berpusing macam gasing kut dua round. Nasib baik tak senget mulut!

“Emm.. boleh dikatakan hari-hari, Aunty. Selalunya Encik Harraz bawak keluar makan.” Nurin jadi tukang report.

Bila ingat balik, menyesal pulak dia. Kenapalah mulut ni celopar sangat? Kalau Harraz tahu, mati Nurin dikerjakan rasanya. Mulut puaka mamat tu boleh tahan. Dah puaka, faham-fahamlah. Boleh kena gangguan jiwa kalau tak kuat!

“Malam? Malam dorang buat apa?” tanya Puan Sri Rosell lagi.

“Entah. Saya tak tahu, Aunty. Saya bukannya PA Encik Harraz. Maafkan saya,” balas Nurin balik.

Manalah dia tahu aktiviti malam lelaki itu. Dan dia pun malas nak ambil tahu. Buat habis masa dan tambah dosa dia je. Nurin rasa Puan Sri Rosell lebih maklum perangai anak bujang dia tu.

“Aunty bukannya apa, Nurin. Harraz tu perangai makin menjadi-jadi. Tambah-tambah lagi lepas dia duduk sorang. Lagilah dia bebas. Aunty dah penat dah nasihat dia. Tapi tak pernah nak dengar.” Puan Sri Rosell meluah rasa.

Dia mengeluh dalam-dalam. Apalah nasib dia punya anak macam Harraz tu? Dahlah Harraz tu satu-satunya anaknya. Pewaris tunggal segala kekayaan suaminya. Termasuk Harraz Holdings ni.

“Salah Aunty jugak terlalu manjakan dia. Terlalu ajar cara hidup barat. Kurang didikan agama. Last-last jadi macam ni la. Baru sekarang Aunty menyesal. Tapi menyesal pun takde gunanya dah. Harraz pun dah besar panjang. Dah boleh jadi suami orang dah pun. Aunty rasa sangat berdosa bila tengok maksiat demi maksiat yang Harraz lakukan. Dah berbuih dah mulut bagi nasihat. Tapi tak pernah jalan.”

“Tengok je dalam syarikat ni. Aunty sendiri malu nak mengaku ni syarikat anak Aunty. Macam-macam yang Harraz tetapkan dalam syarikat ni. Aunty bersyukur sangat-sangat sebab Nurin tak terikut-ikut syarat syarikat ni.”

Nurin senyum hambar. Kalau bukan sebab Tan Sri Mukhriz yang masuk campur, agaknya dah lama dah dia say goodbye pada syarikat ni. Mengarut-ngarut syaratnya dan rasanya hanya ada pada syarikat ni. Tapi, sebab itulah dia kena tuduh macam-macam oleh Harraz. Ada ke dia cakap Tan Sri Mukhriz bela aku sebab ada hubungan istimewa? Gila betul! Agaknya memang dia nak aku ni jadi mak tiri dia.

“Bilalah perangai Harraz nak berubah? Especially perangai playboy dia tu? Sampai bila, Nurin?”

Nurin cuma diam. Tak tahu nak cakap apa. Sekarang ni rasanya macam dia seorang kaunselor dan Puan Sri Rosell adalah clientnya. Alangkah bagusnya kalau dia ada pengetahuan sikit sebanyak pasal psikologi? Boleh jugak nak auta sesuatu untuk tenangkan hati Puan Sri Rosell.

Dan bila Puan Sri Rosell tengah emo macam ni, satu je ayat tipikal yang boleh diucap Nurin.

“Sabar, Aunty. Sabar.”

Puan Sri Rosell pandang Nurin lama-lama. Buatkan Nurin segan semacam.

“Nurin boleh tolong Aunty?” pinta Puan Sri Rosell tiba-tiba.

“Tolong apa, Aunty?”

“Nurin tahu sikap playboy Harraz, kan?”

Nurin angguk. Bukan dia je kot. Warga Harraz Holdings, tak pun warga Malaysia dah tahu kot.

“Tundukkan Harraz.”

“Hah?” Nurin terlopong. Apa dia? Tundukkan siapa?

“Tundukkan playboy itu.”

……..

Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu

Drama adaptasi Novel Tundukkan Playboy Itu

Sambungan novel Tundukkan Playboy Itu karya Anjell ini boleh anda baca secara online menerusi pautan di bawah ini, anda boleh baca novel ini dari bab 1 hingga bab 25 termasuk 3 teaser khas yang diambil dari bab lain secara random.

Semoga dapat dimanfaatkan dan membaca novel terbaik daripada karya Anjell Homosapien ini. Tahniah kepada penulis kerana berjaya menghasilkan novel yang baik untuk dijadikan karya sebuah drama.

Bonus Tabung Haji 2015 Sebanyak 8 Peratus

Perkhabaran yang dinanti-nanti ramai pendeposit di Lembaga Tabung Haji. Sah, bonus Tabung Haji untuk tahun kewangan 2015 diumumkan sebanyak 5 peratus dengan tambahan sebanyak 3 peratus untuk pendeposit yang belum lagi menunaikan haji.

Alhamdulillah, akhirnya spekulasi dan teka-teki mengenai pembayaran bonus Tabung Haji dijawab. Ramai yang risau dan ada yang ragu-ragu akan kemampuan pihak Tabung Haji untuk memberikan bonus tahun 2016 (kewangan 2015). Almaklumlah, ramai juga yang menabung di Tabung Haji, terutama sekali makcik-makcik, pakcik-pakcik macam saya ni .. hehehe…

Bonus Tabung Haji 2015 Sebanyak 8 Peratus

Bonus Tabung Haji 2015 Sebanyak 8 Peratus

Bonus Tabung Haji 2015 Sebanyak 8 Peratus

Bonus Tabung Haji untuk tahun kewangan berakhir 2015 ini akan dibayar kepada pendeposit mulai 10 Februari 2016 ke akaun masing-masing. Semakan boleh dilakukan menerusi ATM, kaunter Tabung Haji dan bank-bank yang terbabit.

Umum tahu, Tabung Haji sering memberikan kadar bonus yang agak baik dan tinggi setiap tahun. Jadi, apabila ada spekulasi bahawa Tabung Haji sedang ‘parah’ dari segi kedudukan kewangan dan aset, maka ramailah yang tidak senang duduk. Walhal, perkara mengenai bonus hasil dari tabungan dan pelaburan adalah bergantung dengan keadaan ekonomi – ia boleh samada tidak diberikan atau diberikan dalam kadar yang rendah.

[Baca] 10 Sebab Untuk Tidak Melabur dalam Tabung Haji atau ASB

Dalam keadaan matawang ringgit yang lemah serta ketidak-stabilan ekonomi dunia, soal bonus ini sepatutnya perkara terakhir di ambil perhatian lebih; adalah lebih baik untuk memikirkan peluang pelaburan lain yang lebih menguntungkan.

Dilemma Penerima BB1M dan BR1M

Dilemma buat mereka yang terima BB1M (Baucar Buku 1Malaysia), tetapi gagal dalam permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia. Saya mengikuti beberapa keluhan yang saya fikir wajar untuk diketengahkan. Mungkin ada kesilapan atau kelemahan di mana-mana sehingga wujud masalah seperti ini, terutama mereka yang memerlukan BR1M lebih daripada memerlukan BB1M.

Pada pandangan marhein saya, kedua-dua program iaitu Baucar Buku 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia ada kebaikan untuk rakyat Malaysia; dan ia memberikan kemudahan dan kelegaan buat mereka yang menerimanya. Cuma masalahnya ialah dari segi perlaksanaannya terutama dari segi menentukan siapa yang layak menerima bantuan-bantuan kerajaan ini.

Dilemma Penerima BB1M dan BR1M

Dilemma Penerima BB1M dan BR1M

Saya tidak mahu diskusi dari aspek politik mengenai kedua bantuan ini, walaupun banyak benda boleh menjadi topik terhangat lagi kontroversi boleh disembangkan. Saya cuma berminat untuk ketengahkan berkaitan isu yang timbul di sebalik BR1M vs BB1M. Mereka yang terlibat berada di dalam dilemma, dan mempersoalkan bagaimana bantuan ini yang sepatutnya memberikan impak positif tetapi berlaku sebaliknya.

Berikut adalah beberapa komen mereka yang terlibat dengan BR1M vs BB1M yang saya ambil daripada beberapa laman web dan blog Malaysia.

Daripada komen-komen di atas berkaitan BB1M serta BR1M, nampak seperti ada yang tidak kena pada perlaksanaannya. Beberapa perkara yang menjadi tanda tanya …

  • BB1M diberikan kepada pelajar tahun akhir dan yang menjalani praktikal, walhal keperluan utama adalah untuk sara diri semasa praktikal dan bukan buku rujukan.
  • BB1M masih diberikan kepada mereka yang telah tamat belajar.
  • Ada golongan sasaran untuk terima BR1M tidak menerima bantuan sepatutnya.
  • Adakah sistem BR1M dengan sistem BB1M dikemaskini secara betul?
  • Duit BR1M lambat masuk ke akaun bank walhal sistem sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Saya bukanlah penerima BR1M, dan isteri saya walaupun belajar sepenuh masa (Master) juga bukan penerima BB1M. Saya tidak memohon, dan isteri saya juga tidak memohon mana-mana bantuan di atas ini kerana kami sedar ada insan dan orang lain yang lebih layak.

Walaupun begitu, kerap juga saya menerima email daripada mereka yang terlibat bertanyakan pelbagai soalan berkaitan BR1M dan juga BB1M ini.

Antara cadangan yang boleh difikirkan untuk tambah-baik kedua bantuan di atas ialah:

  • Penglibatan Penghulu, Ketua Kampung untuk sahkan penerima kedua-dua bantuan di atas. Ini kerana mereka yang lebih dekat dengan masyarakat, dan lebih tahu mengenai hal ehwal dalam kampung, kejiranan, kawasan masing-masing.
  • Sistem pengurusan data dan maklumat pelajar di IPTA, IPTS, kolej dan seumpamanya perlu up-to-date supaya dapat diselaraskan dengan data-data penerima BR1M dan BB1M.
  • Dicadangkan agar pelajar sepenuh masa sahaja layak untuk terima BB1M, manakala separuh masa serta pelajar tahun akhir dan mengikuti praktikal diberikan BR1M Pelajar.
  • BB1M boleh ditukarkan kepada wang tunai untuk berikan lebih nilai kepada bantuan, mungkin diberikan portion tertentu seperti RM200 untuk belanja buku, manakala RM50 boleh ditebus untuk keperluan lain contohnya makanan di kedai 1Malaysia. 
  • Daripada diberikan BB1M, dicadangkan agar kerajaan lengkapkan koleksi buku terbaik dan rujukan terkini di perpustaan IPT, IPTS serta kolej. Boleh manfaatkan sokongan daripada sektor swasta untuk menyumbang.

Ini sekadar pendapat saya, dan juga beberapa kesimpulan yang boleh saya buat daripada penelitian ringkas saya berkaitan dilemma penerima BB1M dan BR1M ini.

Anda mungkin ada pengalaman sendiri atau mahu kongsikan sesuatu yang bermakna berkaitan topik ini. Saya mengalu-alukan komen.

Kredit: Melvister

Undian Best Blog of The Year 2016

Dah buat undian anda untuk Anugerah Minggu Media Sosial Malaysia (Malaysia Social Media Week) 2016? Ada ramai rakan blogger yang masuk bertanding untuk memperkenalkan blog ke peringkat lebih tinggi menerusi pelbagai kategori yang diketengahkan. Dan saya, menerusi blog ini telah masuk bertanding untuk kategori Best Blog of The Year MSMW2016.

Undian untuk Best Blog of The Year 2016 telah dibuka mulai 2 Februari, dan bakal berakhir pada 21 Februari 2016. Undian untuk setiap kategori boleh dilakukan sekali sahaja menerusi akaun Facebook, jadi anda mempunyai hanya satu pilihan sahaja untuk memilih mana-mana blog yang layak.

Undian Best Blog of The Year 2016

Mari memeriahkan Minggu Media Sosial Malaysia ini dengan memilih calon terbaik untuk menang setiap kategori yang ada, dan pastilah saya berharap anda akan memilih blog saya untuk undian Best Blog of The Year 2016. Undian ini perlu bagi menempatkan blog sebagai top 3 pilihan, sebelum pemilihan seterusnya dilakukan oleh pihak juri yang telah dilantik.

Untuk membuat undian, dan memilih blog ini sebagai calon terbaik untuk Best Blog of The Year MSMW2016, maka sila klik butang di bawah ini, dan pilih blog ini. Hanya klik butang vote yang disediakan setelah anda login menerusi akaun Facebook anda. Butang vote yang telah digunakan akan bertukar menjadi merah setelah pilihan dibuat.

Undian Best Blog of The Year 2016

Selamat mengundi, dan semoga anda telah memilih blog terbaik bagi setiap kategori.